Sesungguhnya kehidupan ini tidak dapat lari dari ujian dan dugaan dari Allah sebagai syarat untuk dipilih siapakah yang terbaik dikalangan manusia. Ketahuilah orang-orang terdahulu dari kita juga telah melaluinya, para Nabi, para sahabat telah melalui dan merasainya malah lebih hebat dari kita, manusia biasa.
Allah itu tahu semua yang Dia berikan kepada kita, ada hikmahNya. Dia tahu kita perlukan apa. Maka ujian itulah yang sebenarnya perlu buat kita. Perlu untuk menyedarkan kita, perlu untuk buat kita belajar, perlu untuk mempertingkatkan kita dan sebagainya. Dia Maha Tahu.
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.”Surah Al-Baqarah ayat 214
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Surah Al-Baqarah ayat 155-156.
Apa yang Allah atur dan rencanakan dalam hidup kita memanglah yang terbaik buat kita.
Kalau kita di uji, tandanya ujian itulah yang terbaik untuk kita.
Sebab kita adalah hamba yang tidak tahu menentukan masa depan kita. Tetapi Allah Maha Tahu lagi Maha Mengatur.
“Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” Surah Al-Baqarah ayat 216.
Kita diletakkan di dalam ujian, sedang kita tidak menyukainya. Boleh jadi benda yang kita benci itu adalah benda yang baik di sisi Allah, boleh jadi benda yang kita suka itu belum cukup baik di sisi Allah. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mengetahui, dan kita tidak mampu mengetahui rahsia disebalik dugaan itu secara tepat.
Sebab itu jika dugaan yang sedang kita tempoh ini masih belum menampakkan pengakhirnya, masih ditahap yang sama walaupun kita telah berusaha dengan pelbagai ikhtiar namun yakinlah bahawa kita tidak menghadapi situasi ini berseorangan kerana sebenarnya Allahlah yang ‘bersama-sama’ kita merasai keperitan dan kesusahan yang kita tanggung itu, Dialah yang mengaturnya, Dialah yang berkehendakkan dugaan itu menimpa kita. Bersabarlah kerana Dia lebih tahu pengakhir kepada keperitan dan kesusahan yang kita tanggung. Kita hanyalah seorang hamba Nya yang daif lagi hina.