MUKADIMAH
Dewan Muslimat PAS Kawasan Temerloh adalah penggerak utama kepada PAS Kawasan Temerloh. Penubuhannya adalah untuk melahirkan muslimat mujahidah, beilmu, beriman, beramal dan bertaqwa, seterusnya menegakkan daulah Islamiyah di Malaysia. Dewan ini telah diluluskan penubuhannya pada 22 Mac 1988, beralamat di Darul Islah, Kg. Paya Kecik, Temerloh.
KEPIMPINAN
DMP Temerloh telah diketuai oleh Pn Saonah bt Mohd Takin (1985-1987), kemudian Pn Zainah bt Kebi (1987-1989), diikuti oleh Allahyarhamah Pn Wan Fadhilah bt Wan Mahmud (1989-2002), Pn Fatimah bt Ahmad (memangku 2002-2003), Pn Morsidah bt Mohd Amin (2003-2007), Pn Zaleha bt Sulaiman (2007-2009) dan Pn Salami ah bt Mohd Nor (2009 hingga sekarang).
Jawatan Setiausaha pula telah dipegang oleh Pn Siti Esah bt Talib (1985– 1991), Pn Khairul Aimi bt Mohd Ali (1991-1995), Pn Salamiah bt Mohd Nor (1995-2009) dan Cik Sarah Fawzia bt Ahmad Fuzi (2009 hingga sekarang). Selain itu ahli jawatankuasanya pula terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, dari golongan suri rumah hingga professional.
AKTIVITI
Dewan Muslimat bergerak seiring dengan visi dan misi PASiaitu membawa mesej Islam secara praktikal kepada seluruh manusia, berdakwah dan berpolitik bagi menterjemahkan keadilan syariat Allah kepada seluruh alam dan manusia tanpa mengira bangsa, agama dan asal usul mereka, dengan berwawasan dunia hingga akhirat. Justeru itu, berbagai program dan aktiviti dirancang dan dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan ini. Antaranya ialah mengadakan kuliah umum dan kelas fardu ain di cawangan, usrah, tamrin, qiyamullail, seminar dan bengkel, menganjurkan pertandingan pidato, kem remaja, kem anak soleh, hari keluarga, menganjurkan ibadat korban dan sebagainya. Terkini, Dewan Muslimat bersama muslimin berusaha bersungguh-sungguh mengumpul dana untuk membaikpulih Darul Amin sehingga balai ini bertukar wajah seperti yang dapat kita saksikan hari ini. Balai ini penting dipelihara dan dipulihara kerana ia antara warisan peninggalan pejuang-pejuang terdahulu.
PENGLIBATAN DALAM PILIHANRAYA
PAS telah memberi ruang yang luas kepada muslimat sehingga ke peringkat menjadi calon, menyertai kerajaan dan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pembangkang di peringkat negeri dan pusat. Sehubu-ngan ini, Dewan Muslimat Temerloh telah terlibat secara langsung dalam semua pilihanraya sama ada pilihanraya umum mahupun pilihanraya kecil, bukan sahaja bagi kawasan Temerloh atau Pahang malah ke seluruh negara. Muslimat diberi tugas yang sesuai dengan kewanitaannya seperti berkempen dari rumah ke rumah, ceramah, program pe-nerangan dan kerohanian.
Sepanjang lebih dua dekad penglibatan Dewan Muslimat dalam pilihanraya tidak boleh dinafikan. Kita dapat menyaksikan kemenangan PAS di dua DUN, pada pilihanraya ke-10 (1999), iaitu DUN Kuala Semantan yang disandang oleh Ustaz Haji Idris bin Omar dan DUN Guai yang disandang oleh Mejar (B) Haji Abdul Aziz bin Yaakub. Manakala pada pilihanraya ke-12 (2008), PAS sekali lagi telah memenangi kerusi DUN Kuala Semantan yang disandang oleh YB Syed Hamid bin Syed Mohd.
PENUTUP
Mari kita renungi amanah dan arahan Saidina Umar al-Khattab r.a kepada para pendokong jemaah Islam:
لا إسلام بلا جماعة ولا جماعة بلا أمير ولا أمير بلا طاعة
“Tiada Islam tanpa jama’ah, tiada jama’ah tanpa pemimpin, tiada pemimpin tanpa ketaatan.”
Dewan Muslimat sentiasa patuh dan akur serta berdiri teguh di belakang kepimpinan PAS di semua peringkat demi merealisasikan visi dan misi perjuangan PAS. Muslimat memahami bahawa kesepaduan kerjasama antara muslimin dan muslimat adalah penting dalam melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar untuk kemenangan perjuangan Islam.