Ads 468x60px

Ahad, 22 April 2012

Bersih 3.0 bukan ancaman keselamatan negara

MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my,22 Apr 2012
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak sepatutnya menghalang Perhimpunan Bersih 3.0 yang dirancang untuk diadakan pada jam 2 petang 28 April depan, kerana Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin Hussien sudah memperakui,  ia bukan suatu ancaman kepada keselamatan negara.

Hishamuddin dalam suatu kenyataan berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak melihat perhimpunan "duduk bantah" Bersih 3.0 sebagai ancaman kepada keselamatan kerana ia didakwa hanya mempunyai sedikit daya tarik kepada orang ramai.

Katanya, perhimpunan itu tidak ikhlas kerana ia bermotifkan politik kerana dimasukkan bersama beberapa isu, termasuk ISA, pinjaman pelajaran dan Lynas.

Kita tidak menafikan bahawa memang Perhimpunan Bersih 3.0 bermotifkan politik. Iaitu untuk memastikan sistem politik dan parti politik yang menerajui pemerintahan negara, diamalkan secara telus dan demokratik.

Bersih 3.0 diterajui sekelompok NGO yang mendapati sistem politik dalam negara kita terlalu tercemar dan kotor.

Sistem politik asalnya tidak kotor. Ia dikotorkan ahli-ahli politik. Ianya kotor kerana sikap ahli politik yang rakus dan tamakkan kuasa, sehingga sanggup membelakangi norma-norma moral serta kehidupan.

Dalam hal ini, rakyat terpaksa berhadapan dengan kerakusan ahli-ahli politik Umno-Barisan Nasional. Mereka memanipulasikan  segenap ruang yang ada untuk mengekalkan kuasa mereka.

Kuasa yang mereka nikmati sejak sebelum merdeka sehingga sekarang, tergugat dengan kebangkitan kuasa rakyat pada PRU, 8 Mac 2008.

Dengan Jumlah kerusi Parlimen yang hampir sama dengan Pakatan Rakyat, disertakan dengan kekalahan di beberapa buah negeri, BN cukup gementar untuk menghadapi Pakatan pada PRU kali ini.

Mereka gementar kerana natijah daripada PRU  2008 tersebut membuktikan, BN sebenarnya tidak kuat. Mereka kelihatan kuat, hanya kerana didokongi polis, tentera (menerusi undi pos), SPR, Jabatan Penerangan, media dan pelbagai institusi kerajaan.

Umno-BN secara one-to-one, tidak mampu berhadapan dengan Pakatan dalam pertembungan sebagai parti politik. Mereka tiada kekuatan sebenarnya. Mereka tempang jika tidak didokong jentera kerajaan.

Umno-BN sedar bahawa, mereka menang saban kali PRU kerana banyak ruang demokrasi disekat dan ditutup.

Kebebasan bersuara disekat. Parti-parti pembangkang tidak diberi ruang untuk berwacana secara adil dan saksama dalam media cetak dan elektronik.

Dengan taktik mengehadkan demokrasi ini, Umno-BN sebagai kerajaan, dapat menutup segala kelemahan dan pelbagai penyelewengan, salahguna kuasa serta rasuah yang dilakukan pemimpin mereka.

Sebagai contoh, pemimpin Umno-BN Terengganu memaki hamun Sultan dengan menggelarkan Raja mereka sebagai binatang, dengan melakukan demonstrasi di hadapan istana, tidak dianggap suatu kesalahan.

Tetapi sedikit bisik-bisik pemimpin Pakatan di majlis Istana, digembar gemburkan dengan begitu besar, seolah-olah wujud penghinaan kepada Raja.

Sifat 'celaka' ini diamalkan secara berleluasa, dalam segenap aspek, semata-mata untuk memburuk-burukkan Pakatan, dalam masa yang sama cuba mensucikan Umno yang berada di dalam kekotoran.

Justeru pada 28 April ini, rakyat yang semakin muak dengan amalan 'politik longkang' Umno-BN, akan berhimpun Duduk Bantah di Dataran Merdeka.

Umno-BN tidak berani menghalang Perhimpunan Bersih. Mereka cuba bermain 'silap mata' dengan mengatakan mereka tiada masalah untuk membenarkan rakyat berhimpun.

Tetapi kata mereka, itu hak polis dan DBKL untuk memberi kebenaran. Rakyat tidak bodoh macam pemimpin Umno-BN. Rakyat tahu, mereka yang terdiri daripada ahli politik longkang inilah, yang mengarahkan pihak berkenaan menghalang perhimpunan.

Sama ada dibenar atau tidak. Sama ada diancam atau tidak, jentera yang diterajui Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said tidak akan berundur.

Kami akan pastikan 28 April ini, Dataran Merdeka dibanjiri lautan rakyat yang mahukan sistem pilihan raya diperbaiki dan dipelihara dari sebarang manipulasi.

Jom Bersih 3.0. Duduk Bantah demi keadilan dan hak rakyat. Hidup rakyat!

Sabtu, 21 April 2012

Untuk terbaik, perlu susah dan sakit

 


Sesungguhnya kehidupan ini tidak dapat lari dari ujian dan dugaan dari Allah sebagai syarat untuk dipilih siapakah yang terbaik dikalangan manusia. Ketahuilah orang-orang terdahulu dari kita juga telah melaluinya, para Nabi, para sahabat telah melalui dan merasainya malah lebih hebat dari kita, manusia biasa.
Allah itu tahu semua yang Dia berikan kepada kita, ada hikmahNya. Dia tahu kita perlukan apa. Maka ujian itulah yang sebenarnya perlu buat kita. Perlu untuk menyedarkan kita, perlu untuk buat kita belajar, perlu untuk mempertingkatkan kita dan sebagainya. Dia Maha Tahu.
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.”Surah Al-Baqarah ayat 214
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Surah Al-Baqarah ayat 155-156.

Apa yang Allah atur dan rencanakan dalam hidup kita memanglah yang terbaik buat kita.
Kalau kita di uji, tandanya ujian itulah yang terbaik untuk kita.
Sebab kita adalah hamba yang tidak tahu menentukan masa depan kita. Tetapi Allah Maha Tahu lagi Maha Mengatur.
                “Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” Surah Al-Baqarah ayat 216.

Kita diletakkan di dalam ujian, sedang kita tidak menyukainya. Boleh jadi benda yang kita benci itu adalah benda yang baik di sisi Allah, boleh jadi benda yang kita suka itu belum cukup baik di sisi Allah. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mengetahui, dan kita tidak mampu mengetahui rahsia disebalik dugaan itu secara tepat.
Sebab itu jika dugaan yang sedang kita tempoh ini masih belum menampakkan pengakhirnya, masih ditahap yang sama walaupun kita telah berusaha dengan pelbagai ikhtiar namun yakinlah bahawa kita tidak menghadapi situasi ini berseorangan kerana sebenarnya Allahlah yang ‘bersama-sama’ kita merasai keperitan dan kesusahan yang kita tanggung itu, Dialah yang mengaturnya, Dialah yang berkehendakkan dugaan itu menimpa kita. Bersabarlah kerana Dia lebih tahu pengakhir kepada keperitan dan kesusahan yang kita tanggung. Kita hanyalah seorang hamba Nya yang daif lagi hina.